Posted: 19 Oct 2011 11:55 PM PDT

22 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
Ampang:  Tragedi kes culik dan pembunuhan kejam Nurin pada 20 Ogos 2007 hampir  berulang apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun  hampir diculik dua lelaki menaiki van putih persis kenderaan yang  didakwa melarikan Nurin. Gambar fail
Menggunakan  taktik hampir sama seperti kes penculikan sebelum ini, kanak-kanak  lelaki terbabit diculik dan dibawa lari beberapa meter sebaik berjalan  keluar dari sekolahnya berhampiran Kampung Melayu Ampang, Jumaat lalu.
Bagaimanapun,  mangsa terselamat apabila sempat melarikan diri sebaik pintu van  berkenaan terbuka akibat tindakannya yang meronta-ronta ketika ditahan.
Ketua  Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin  berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa baru tamat  waktu persekolahan dan mahu pulang ke rumahnya yang terletak  berhampiran.
“Ketika  sedang berjalan tiba-tiba seorang lelaki tempatan memakai kemeja-T  terus keluar dari van putih diletakkan di tepi jalan lalu menghampiri  kanak-kanak berkenaan yang baru keluar dari pintu utama sekolah.
“Lelaki  itu dikatakan memeluk lalu menangkap mangsa dari belakang. Akibat  terkejut dengan tindakan itu, mangsa meronta dan cuba melepaskan diri,”  katanya ketika dihubungi semalam.
Namun, mangsa dibawa masuk menaiki van dipandu seorang lagi lelaki tempatan dipercayai untuk dibawa lari.
“Dalam perjalanan itu, mangsa terus meronta-ronta melepaskan diri. Disebabkan keadaan van yang bergegar, pintu van itu terbuka.
“Mangsa  segera melompat keluar dari van itu dan melarikan diri. Kedua-dua  suspek yang panik dengan tindakan mangsa kemudian memecut van  berkenaan,” katanya.
Berikutan  itu, mangsa pulang ke rumahnya dan menceritakan kejadian itu kepada ibu  bapanya sebelum dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang  Jaya untuk membuat laporan.
Amiruddin  berkata, polis kini sedang giat memburu suspek dan menasihati orang  awam supaya peka keadaan sekeliling dan memaklumkan polis sekiranya  melihat keadaan mencurigakan menggunakan van putih.
Dalam  kejadian sebelum ini, Nurin Jazlin Jazimin, 8, diculik selepas  mengunjungi pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju  pada 20 Ogos, 2007. Mayat mangsa ditemui disumbat dalam beg berhampiran  PJS1, Petaling Jaya. Dua bulan selepas itu, seorang lagi kanak-kanak  lelaki berusia 11 tahun nyaris diculik berhampiran rumahnya di Seksyen  1, Wangsa Maju tidak jauh dari tempat Nurin dilaporkan hilang. 
Dalam  kejadian itu, mangsa yang cuba ditarik masuk ke dalam van sempat  melawan sebelum dilepaskan penjenayah yang terkejut dengan jeritan ibu  mangsa. Kejadian sama berulang apabila seorang lagi kanak-kanak  perempuan, Sharlinie Mohd Nashar, 5, turut dilaporkan hilang pada awal  Januari 2008 selepas didakwa turut dilihat bersama seorang suspek dalam  sebuah van di Cheras. Mangsa gagal ditemui sehingga kini.
KELAB GREENBOC/-
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan