Teacher must be sensitive to the needs of their  students and dedicated themselves to the improvement of student learning  as their primary professional objective
 (NCTM, 1980: 25)
Pengajaran matematik yang berkesan akan melibatkan beberapa kemahiran, antaranya:
- Perancangan mengajar
- Pelaksanaan pengajaran
- Penyediaan latihan yang berterusan dan pelbagai
- Pengayaan dan pemulihan
- Menilai kefahaman konsep dan penguasaan kemahiran
- Pengurusan bilik darjah
- Penilaian terhadap bahan dan kurikulum matematik
Perancangan pengajaran dalam matematik
Setiap pendidik matematik amat memerlukan  pengetahuan dan kemahiran dalam menyampaikan sesuatu isi pelajaran  kepada anak didiknya. Amat jarang kedapatan di kalangan guru-guru yang  dapat mengajar secara berkesan, jelas, tanpa sebarang gangguan dengan  hanya berbekalkan kebolehan semula jadi (D' Augustine, 1973 ).  Pengajaran matematik yang berkesan perlu memenuhi beberapa langkah  penting seperti berikut :
- Penelitian terhadap konsep-konsep asas yang terlibat dalam sesuatu topik
- Mengenalpasti serta menyenaraikan objektif pengajaran dan pembelajaran secara eksplisit
- Mengenalpasti kemahiran prasyarat yang diperlukan bagi sesuatu topik dan skim matematik yang sedia ada dalam minda pelajar.
- Memilih kaedah dan alat bantu mengajar yang sesuai untuk mengembangkan sesuatu konsep
- Mempertimbang dan menyediakan aktiviti latihan untuk menguasai sesuatu kemahiran khususnya dalam penyelesaian masalah.
- Mempertimbangkan kaedah serta instrumen untuk menilai keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.
- Melatih dan meningkatkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis di kalangan pelajar.
- Menerapkan nilai-nilai murni dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti luar kelas.
Selepas kita mengetahui topik serta konsep-konsep  yang berkaitan untuk di ajar, kita perlu menyenaraikan objektif tingkah  laku yang bakal dipamirkan oleh setiap murid apabila mereka benar-benar  memahami atau menguasai isi pelajaran yang telah disampaikan. Tingkah  laku yang dipamirkan ini juga akan menunjukkan tahap kefahaman pelajar.  Sebagai contoh, katakan kita ingin mengetahui sama ada pelajar memahami  konsep segitiga. Kita boleh melibatkan beberapa objektif tingkahlaku  yang boleh menjadi bukti bahawa pelajar telah memahami konsep segitiga,  antaranya :
- Melukis segitiga : Pelajar sepatutnya dapat melukis sebuah segitiga di atas se keping kertas dengan menggunakan pensel dan pembaris.
- Memilih bentuk : Pelajar sepatutnya dapat memilih bentuk segitiga daripada set pelbagai bentuk yang dipamirkan kepada mereka.
- Menyatakan definisi : Pelajar dapat menyatakan definisi segitiga dengan tepat sama ada secara lisan atau bertulis.
Sesuatu objektif biasanya ditentukan bagi sesuatu  tempoh pengajaran, sama ada untuk satu masa atau dua masa, bergantung  kepada isi pelajaran dan peruntukan masa mengajar. Pemilihan objektif  tidak hanya menentukan tahap kefahaman seseorang pelajar, malah ia juga  akan menentukan kaedah dan alatan yang sesuai digunakan. Sebagai contoh,  katakan objektif yang dipilih berbunyi : " murid dapat menambah dua  nombor satu digit dengan satu digit ". Jika tajuk berkenaan baru mula  diajar, guru perlu menyediakan aktiviti untuk membimbing murid memahami  konsep ' pengumpulan ' atau ' penyatuan ' antara dua set benda.  Pengajaran bermula dengan aktiviti konkrit di mana para pelajar akan  terlibat secara aktif, memanupulasi bahan-bahan maujud dan berakhir  dengan proses pengabstrakan. Setelah murid memahami konsep penambahan,  mereka seterusnya akan dibimbing untuk menguasai fakta asas tambah.  Aktiviti untuk penguasaan kemahiran tidak banyak melibatkan manipulasi  bahan maujud berbanding dengan aktiviti semasa penguasaan konsep.
Setelah mengenalpasti objektif pengajaran dan  pembelajaran, para guru perlu menyenaraikan pengetahuan dan kemahiran  sedia ada yang perlu dikuasai oleh setiap murid. Pengajaran sebaiknya  bermula dengan mengingat semula pengetahuan sedia ada membuat pengukuhan  jika perlu. Kemahiran dalam matematik bersifat heirarki dan  berkesinambungan (Ngean, 1984). Kegagalan menguasai konsep dan kemahiran  awal, akan menyebabkan kesukaran dalam pembelajaran kemahiran  berikutnya. 
Perancangan seterusnya ialah menentukan teknik atau  kaedah yang paling sesuai untuk digunakan dalam proses pengajaran dan  pembelajaran. Semua teknik atau kaedah adalah baik dan sesuai selagi  mana ianya dapat membantu pelajar mencapai objektif yang digariskan (  Shaharir, 1984).
Pelaksanaan pengajaran dalam matematik
Pendidik matematik yang berjaya mestilah mampu untuk :
- mengurus bilik darjah dengan berkesan tanpa gangguan yang boleh mencacatkan proses pengajaran dan pembelajaran
- menggalakkan penglibatan aktif di kalangan pelajar sama ada semasa pengembangan konsep atau dalam aktiviti penyelesaian masalah.
- mengatasi kelemahan dan masalah yang dihadapi oleh pelajar ( masalah pembelajaran, emosi, fizikal, disiplin dan sebagainya )
- menggunakan konsep matematik dengan tepat, sesuai dengan tahap pencapaian pelajar
- mengubahsuai gaya serta teknik pengajaran kepada kumpulan pelajar yang berbeza dari segi tahap pencapaian dan minat terhadap matematik
- menjadikan kesalahan dan kesilapan pelajar sebagai sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran agar pelajar merasa bebas, tidak tertekan serta berani menjawab dan mengemukakan sebarang pandangan dan kemusykilan
- memberi motivasi kepada pelajar agar mereka mempunyai minat dan semangat untuk mempelajari matematik
- mengembang sikap positif pelajar terhadap matematik serta menghayatinya dalam kehidupan seharian
- mengenalpasti teknik pengajaran terbaik yang mampu mencapai objektif yang digariskan.
- menjadikan pembelajaran matematik lebih mudah dan menyeronokkan.
 
 


 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan