Penghuni dunia cecah 15 bilion

Bumi kini hadapi masalah penduduk, suhu 
NEW  YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran penduduk  dunia akan mencecah 15 bilion orang menjelang akhir abad ini,  menyebabkan tekanan berat kepada sumber planet Bumi, 
kecuali tindakan segera diambil untuk mengawal kadar pertumbuhan.
Perangkaan itu berkemungkinan mengejutkan ramai pakar kerana ia jauh lebih tinggi berbanding yang dianggarkan.
Terdahulu,  PBB menganggarkan dunia akan memiliki 10 bilion penduduk menjelang  akhir abad ini, manakala ketika ini hampir tujuh bilion orang menghuni  dunia. 
Perangkaan  baru itu dinyatakan dalam kajian oleh Dana Kependudukan PBB (UNFPA)  yang akan disiarkan minggu ini. Laporan bertajuk ‘Kedudukan Penduduk  Dunia 2011,’ dihimpun untuk menandakan bahawa di mana-mana saja di muka  Bumi, bayi yang dilahirkan akan menjadikan penduduk dunia melebihi tujuh  bilion. 
Sebahagian  pakar memberi reaksi terkejut dengan perangkaan itu. Pengerusi  Population Matters, Roger Martin, yang berkempen untuk mengawal  penduduk, berkata Bumi memasuki fasa baru yang bahaya. 
“Planet  kita menghadapi masalah dari semua aspek termasuki pertumbuhan penduduk  dan perubahan suhu. Planet sebenarnya tidak menampung tujuh bilion  penduduk,” katanya. 
Bumi  mempunyai dua kali ganda penduduk sejak tahun 1960-an, disebabkan kadar  kelahiran tinggi di Afrika, Asia dan Amerika Latin. 
Sebahagian  lagi masih ragu-ragu dengan fakta bahawa penduduk dunia akan mencecah  15 bilion dengan kadar segera. Penulis Population Bomb, Profesor Jack  Goldstone, dari Universiti George Mason, berkata beliau yakin pemimpin  dunia akan mengambil tindakan tertentu untuk memastikan penduduk dunia  dapat dikurangkan. 
“Cara  mengurangkan bilangan kanak-kanak dalam keluarga tersebar ke seluruh  dunia,” katanya sambil menambah 10 hingga 12 bilion penduduk menjelang  2100. 
Ramai  pakar dasar percaya kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) mempunyai  cara mengehad dan mengawal penduduk dunia. Kunci utama, kata mereka  ialah memastikan perancangan keluarga yang berkesan disampaikan ke  seluruh negara membangun. 
“Apa  yang amat kritikal ialah komitmen kerajaan. Perancangan keluarga  sebenarnya tidak mahal,” kata Naib Presiden Majlis Kependudukan beribu  pejabat di New York, John Bongaarts. 
Bagaimanapun,  aktivis isu perancangan keluarga berdepan faktor budaya dan agama yang  menjadikan usaha mendidik wanita dan mengurangkan saiz keluarga sukar. –  Agensi
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan