Kesan sampingan dan bahaya makan minum sering dilapurkan dan ia diakui sendiri oleh pakar perubatan bahawa punca penyakit yang diidapi oleh masyarakat manusia dan ada yang membawa kematian khususnya masyarakat moden hari ini, ia berpunca daripada banyak makan daripada kekurangan makanan. Penyakit-penyakit seperti darah tinggi, lemah jantung, kencing manis dan lain-lain semuanya berpunca daripada lebih makan atau tidak mengawal makanan dengan cara yang betul.
Oleh sebab itu Nabi SAW mengingatkan bahawa; “Tiada suatu tempat yang dipenuhi oleh anak Adam yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu memakan sekadarnya. Hendaklah kamu mengisi perut dengan hanya sepertiga ruang makanan dan sepertiga lagi dengan air dan sepertiga lagi dengan nafas (ruang udara)” –(Riwayat At Tirmizi dan Ahmad).
Hadis di atas di samping menganjurkan  agar menghadkan kadar makan dan minum, Nabi SAW juga mengingatkan  tentang bahaya perut jika ia diisi dengan tanpa hadi. Difahamkan  daripada hadis di atas juga bahawa perut kita hanya selamat jika ia  diisi dengan makanan satu pertiga sahaja. Tetapi jika ia dipenuhi dengan  makanan melebihi ruang itu, maka kemungkinan besar ia merbahaya kepada  kesihatan kita sendiri.
Oleh sebab itu Imam Al Ghazali dalam  Minhajul ‘Abidin menjelaskan terdapat 10 bahaya berpunca daripada  lebihan makanan. Di antara bahaya-bahaya makan minum tanpa had itu  ialah;
1. BANYAK MAKAN HATI MENJADI KERAS DAN MEMADAMKAN CAHAYANYA.
Dalam sebuah hadis yang agak masyhur  bahawa Nabi SAW mengingatkan; “Hati anak Adam ditempa bentuknya mengikut  makan dan minum”. Ertinya bentuk dan sifat hati itu berpunca daripada  makan minum.
Dalam hadis lain Nabi SAW bersabda lagi,  maksudnya; “Janganlah kamu mematikan hati dengan banyak (berlebih)  makan dan minum, walau pun yang halal. Kerana hati itu ibarat  tumbuh-tumbuhan, ia akan mati jika terlalu banyak disirami air”.
Dalam Al Quran pula Allah mengingatkan  agar jangan makan makanan secara belebihan sehingga walau pun dengan  makan minum yang halal. Firman Allah, maksudnya; “Makan minumlah kamu,  tetapi jangan berlebihan” –(Surah Al ‘Araf ayat 31).
Hukama’ pula ada berkata; “Perut itu  umpama kuali yang berada di bawah hati, bila ia mendidih asapnya akan  terkena pada hati. Jika banyak asap, ia akan kotor dan menjadi hitam”.  Ertinya bahan kimia daripada makanan itu menghasilkan toksid yang boleh  membinasakan hati dan jantung.
2. BANYAK MAKAN HATI MENJADI RESAH DAN MERUNTUN ANGGOTA KE ARAH PERKARA SIA-SIA DAN MAKSIAT.
Seorang yang sentiasa kenyang sentiasa  lupa daratan. Segala pancainderanya, seperti mata, telingan, lidah dan  kemaluannya cenderung untuk melakukan perkara haram. Tetapi bila perut  lapar, semua anggota menjadi aman dan tenteram daripada runtutan  maksiat, hatta perkara fudhul (tidak berfaedah).
Berkata Ustaz Abu Jaafar Rahimullahu  ta’ala, bahawa perut itu, jika ia lapar, anggota lain menjadi kenyang  (tidak ingin) terhadap segala perkara yang tidak baik. Tetapi jika ia  kenyang, maka segala anggota lain menjadi lapar (teringin) kepada  sesuatu tanpa batas dan banyaklah perkara yang dituntutnya.  Kesimpulannya, menurut Imam Al Ghazali, setiap perbuatan, ucapan serta  tindak-tanduk seseorang lebih banyak dipengaruhi oleh makan minum.
Jika makan yang haram, maka yang  terhasil daripada anggota dan pancainderanya adalah perkara haram juga.  Jika makan yang halal, yang terhasilnya adalah perkara baik dan manfaat  serta keuntungan di dunia dan akhirat. Tapi jika makan belebihan,  walaupun halal, ia mendatangkan kesan sampingan yang memudharatkan pula.
3. BANYAK MAKAN AKAN MELEMAHKAN AKAL DAN TERHALANG DARIPADA MENJADI CERDIK.
Benar sekali apa yang disebut oleh Imam  Ad Daraqutni; “Bila engkau ingin sesuatu dari keperluan dunia dan  akhirat, maka janganlah engkau makan dahulu sehingga perkara yang engkau  ingin itu tercapai atau berhasil. Kerana makan itu akan merubahkan  fikiran menjadi lemah.
Bukti itu telah dialami oleh banyak orang yang mempraktikkannya”.
4. BANYAK MAKAN MENYEBABKAN KURANG IBADAH.
Banyak makan menyebabkan badan menjadi  berat, mata mengantuk, anggota badan lesu dan lemah. Walau pun dipaksa  untuk melakukan sesuatu, tetapi tidak berdaya lagi, kecuali hanya tidur  seperti bangkai terbuang.
Diceritakan bahawa Nabi Yahya as pernah  bertemu dengan iblis sedang membawa sesuatu serupa joran (alat  memancing). Nabi Yahya bertanya; “Untuk apa engkau bawa alat ini”. Jawab  iblis; “Inilah syahwat untuk aku pancing anak-anak Adam”. Tanya Nabi  Yahya lagi; “Adakah aku juga hendak engkau pancing?”. Jawb iblis; “Tidak  ada peluang. Tetapi pernah pada suatu malam, engkau makan agak banyak.  Maka aku dapat memancing kamu sehingga engkau terasa berat untuk  mengerjakan solat”. Kata Nabi Yahya; “Kalau macam itu, mulai hari ini  aku tidak lagi mahu makan kenyang sepanjang hidup aku”. Kata iblis  dengan penuh kesal; “Betapa menyesalnya aku kerana membuka rahsia ini.  Mulai hari ini kami golongan iblis tidak akan menceritakan lagi rahsia  ini kepada sesiapa pun”. Ada pun kisah Nabi Yahya terlebih makan itu  cuma berlaku sekali sahaja dalam hidupnya.
Cubalah bayangkan, bagi orang yang  sentiasa kenyang pada setiap malam. Tentu sekali bukan sahaja malas,  bahkan terasa rugi untuk bangun beribadah malam. Bila terjaga pada waktu  malam sayang sekali untuk tinggalkan kain selimut dan tilam empuk untuk  bangun beribadah kepada Allah.
Berkata Syied Sofwan Rahimullah; “Ibadah  itu umpama perusahaan (perniagaan) yang menguntungkan. Warungnya adalah  berkhalwat dan barang perniagaannya ialah berlapar”. Ertinya jika kita  tidak berlapar, maka kita ibarat peniaga yang membuka warung yang  kosong.
5. BANYAK MAKAN AKAN MENGHILANGKAN KEMANISAN DALAM BERIBADAH.
Seperti seorang seniman yang sedang  asyik menumpukan kepada kanvas lukisannya, ia pasti lupa alam  sekelilingnya. Setelah selesai dihasilkan lukisannya, ia akan terasa  suatu kepuasan. Demikian juga dengan badah yang dilakukan dengan takun  dan khusyuk, akan terasa sedap dan nikmat. Selesai ibadah akan terasa  suatu kepuasan.
Saidina Abu Bakar berkata; “Sejak aku  menganut Islam, belum pernah perut aku kenyang dengan makanan. Kerana  aku ingin mendapat kemanisan dan kepuasan dalam beribadah. Juga belum  pernah aku kenyang dengan minuman, kerana aku sangat rindukan Allah”.
Saidina Abu Bakar ialah salah seorang  sahabat Nabi SAW yang mendapat maqam (tingkatan) mukasyafah. Ini seperti  mana diakui oleh Nabi SAW sendiri, maksudnya; “Tiada yang melebihi kamu  Saidina Abu Bakar dalam rasa mekanisan beribadah puasa dan solat.  Sesungguhnya ia ialah kerana sesuatu yang tersimpan di dalam dadanya  (takwa)”.
Inilah tanda dan sifat orang yang telah mendapat maqam mukasyafah kerana mengurangkan makan dan minum.
Kata Addoroni, saat aku merasa amat manis sekali dalam ibadah ialah semasa perutku rapat dengan belakangku (terlalu amat lapar).
6. BANYAK MAKAN SEMBARANGAN MAKANAN AKAN MUDAH TERJERUMUS KEPADA SYUBHAT ATAU MUDAH MENDEKATI PERKARA HARAM.
Menurut Imam al-Ghazali, barang halal  itu datang kepada kamu hanya sekadar untuk menjadi bekalan sahaja.  Seperti mana disebut oleh Nabi SAW, maksudnya; “Sesungguhnya yang halal  itu tiada datang kepada kamu, melainkan sekadar untuk menjadi bekal dan  sekejab sahaja. Tetapi yang haram itu datang kepada kamu  bertimbun-timbun”.
Banyak makan makanan syubhat menimbulkan  was-was dalam hati. Sukar menghafal ilmu dan mudah lupa. Oleh sebab itu  dalam hadis riwayat Bukhari bahawa Rasulullah SAW mensifatkan, di  antara halal dengan haram ada di tengahnya perkara syubhat. Walau pun  perkara syubhat belum haram, tetapi ia lebih mendekati ke arah haram dan  termasuk perkara larangan, bagai taman larangan kawasan istana. Kerana,  siapa yang suka meniti di atas syubhat, lambat laun ia akan terjerumus  kepada haram. Bagi orang wara’ perkara syubhat dijauhinya bagai menjauhi  perkara haram.
7. BANYAK MAKAN MENYEBABKAN TIMBUL PELBAGAI PERKARA BURUK.
Di antara perkara buruk atau kesan sampingan berpunca daripada banyak makan ialah;
a). Hati dan badan menjadi penat kerana  sebuk berusaha mencari perbelanjaan untuk tujuan menyediakan makanan  yang lazat-lazat dan mahal-mahal perencah dan resepinya.
b). Badan akan menjadi penat dan letih  dalam mencari pelbagai resepi, menyiapkan pelbagai jenis masakan,  mencuci alat-alat yang telah diguna untuk makan dan sebagainya.
c). Menghabiskan masa, fikiran, dan  pertimbangan untuk mengimbangkan resepi agar terasa lazat. Kerana  bimbangkan risiko kekurangan salah satu bahan, nanti kurang sedap.
d). Selepas makan, kesibukan itu  bersambung lagi, seperti kena mencuci gigi, menyiapkan peralatan selepas  makan seperti kertas tisu, menghidang makan ringan sebagai pencuci  mulut dan lain-lain.
e). Jika perut allergic terpaksa pula  pergi ke jamban. Menghadapi risiko kesan sampingan seperti terkena  penyakit darah tinggi, lemah jantung atau kencing manis dan lain-lain,  maka terpaksa pula jumpa doktor dan sediakan ubat sepanjang masa.
f). Selalu rugi di bidang agama seperti;
i). Banyak makan menjadikan seseorang  malas beribadah atau melambat-lambat sembahyang, kerana terasa penat  akibat perut terlalu kenyang. Jika ibadah pun telah mengurangkan  perkara-perkara sunat.
ii). Orang yang banyak makan akan  sentiasa hendak membuang air kecil atau air besar atau sentiasa kentut.  Oleh sebab itu wudhuknya tidak dapat kekal. Ertinya, ia tidak mampu  kekal dalam keadaan suci, iaitu sentiasa berada dalam wudhuk. Sedangkan  orang yang sentiasa berwudhuk, menurut hadis, ia sentiasa diampuni dosa  oleh Allah sepanjang ia berwudhuk.
iii). Banyak makan menyebabkan kurang  tahan beriktikaf atau tidak dapat berlama-lama dalam mesjid, kerana  keluar untuk keperluan cari makan atau kerana terbatal wudhuk (sentiasa  kentut) atau kerana hendak buang air kecil atau air besar.
iV). Orang yang banyak makan ia tidak tahan berpuasa, kerana tidak tahan berlapar.
Demikian beberapa kelemahan keburukan orang yang banyak makan dan ia merupakan satu kerugian.
Sesungguhnya puasa, iktikaf, dawamut toharah (sentiasa  berkeadaan suci - sentiasa berwudhu', termasuk juga menjaga kebersihan  pakaian pada diri) dan lain-lain itu merupakan perkara yang menjadi  ibadah dan mendapat pahala. Sedangkan banyak makan, menyebabkan peluang  untuk berada dalam keadaan ibadah dan mendapat pahala menjadi terganggu  oleh kesan sampingan akibat makan banyak seperti perasaan malas,  mengantuk, terkentut, buang air kecil dan besar (menyebabkan tidak tahan  berada dalam keadaan sentiasa wudhu') dan lain-lain.
Kerana itu Nabi SAW mengingatkan,  maksudnya; “Punca segala penyakit ialah rakus atau lahap dalam makan dan  punca segala ubat ialah berpantang”.
Malik bin Dinar pernah berkata; “Wahai  saudara ahli Basrah, disebabkan makan terlalu banyak, maka kita terpaksa  kerap pergi ke tandas, tempat yang hina. Ertinya kita dimalukan oleh  Tuhan. Oleh sebab itu, maka aku amat inginkan sekiranya diberi rezki  oleh Tuhan, cuma cukup untuk menjilat lidah sahaja pada batu krikil”.
Oleh itu orang yang Cuma menghabiskan  masa untuk fakir makan dan minum sahaja, maka semua urusan yang  dilakukan (untuk mencari makanan) hanya semata-mata untuk keduniaan dan  tidak ada apa-apa bahagian untuk di akhirat. Kerana apa yang diusahakan  semata-mata untuk menghasilkan najis dan mengakibatkan pula badan lesu,  menanggung penyakit dan masa (umur) tebuang percuma sahaja.
8. BANYAK MAKAN MENYEBABKAN AMAT SAKIT KETIKA SAKARATUL MAUT DAN URUSAN PERHITUNGAN DI AKHIRAT MENJADI RUMIT.
Dalam hal ini Nabi SAW ada mengingatkan;  “Berat atau ringannya sakit sakaratulmaut itu bergantung kepada sedikit  atau banyaknya kenikmatan dunia yang kita ambil. Jika banyak kenikmatan  dan kesenangan dunia yang kita ambil dan nikmat, maka beratlah kita  hadapi sakit sakaratul maut, kerana sedih dan sayang untuk meninggalkan  dunia yang telah mendarah-daging bagi kita”.
9. BANYAK MAKAN MENYEBABKAN KURANGNYA GANJARAN DI AKHIRAT, KERANA NIKMATNYA TELAH DITERIMA DI DUNIA.
Firman Allah, maksudnya; “Dan ingatlah  hari ketika orang-orang kafir dimasukkan ke dalam neraka, kepada mereka  dikatakan; ‘Kamu telah menghabiskan rezki dan kesenanganmu yang baik di  dunia dan kamu telah pun bersenang-senang dengannya, maka pada hari ini  dibalas pula dengan azab yang menghinakan. Kerana kamu dahulu di dunia  sombong dan fasiq tanpa hak” –(Surah Al Ahqaaf ayat 20).
Jika kita hanya mengambil dan  menggunakan nikmat dunia semata-mata untuk merasakan kesenangan di  dunia, maka akibatnya nikmat di akhirat akan dikurangkan oleh Allah.
Diriwayatkan bahwa suatu masa Khalid  Ibnu Walid menghidangkan makanan yang enak-enak kepada Saidina Umar.  Lalu Saidina Umar berkata; “Makan yang enak ini kita akan makan  sekarang, tetapi bagaimana dengan nasib orang –orang fakir di kalangan  sahabat Muhajirin yang meninggal dunia, kerana belum pernah kenyang  makan roti yang dibuat daripada sya’ir (iaitu gandum yang amat murah  harganya)”. Khalid menjawab; “Ya, Amirul Mukminin, bagi mereka sudah ada  syuga. Sekarang mereka sudah mendapat ganjarannya”. Kata Saidina Umar  lagi; “Kalau begitu, mereka sudah dapat syurga, sedangkan kita baru  dapat makanan yang enak ini. Amat celakalah kita, kerana di antara kita  dengan mereka berbezaan amat jauh sekali”.
Saidina Umar amat faham tentang  peringatan Rasulullah SAW, bahawa jika seseorang itu telah mendapat  nikmat dunia dan bermewah-mewah dengannya, nanti di akhirat ganjarannya  akan berkurangan.
Diriwayatkan bahawa suatu hari Saidina  Umar merasa dahaga. Lalu ia meminta air daripada seorang sahabat yang  ada berdekatan dengannya. Sahabat itu pun menghulurkan kepadanya air  yang di dalamnya bercampur beberapa butir buah kurma sehingga air itu  terasa manis. Sebaik-baik sahaja Saidina Umar menghirup seteguk air itu,  lalu ia bagaikan tersentak dan bersuara; “Aduh...”. Tapi sahabat itu  menyangka Saidina Umar tersentak kerana air itu kurang manis. Dia pun  berkata; “Ya, Amirul Mukminin….seboleh-bolehnya aku inginkan agar air  itu cukup terasa manis, tetapi jika ia kurang manis, aku minta maaf…”.  Balas Saidina Umar; “Aku tersentak itu bukan kerana tawar, tetapi kerana  terlalu manis”. Selepas itu dengan nada terharu Saidina Umar menyambung  lagi; “Kalaulah tidak kerana ada Hari Akhirat, maka aku akan  bersama-sama kamu bersenang-senang menikmati kehidupan di dunia ini”.
10. BAHAYA MAKAN MERUMITKAN SOAL JAWAB DI AKHIRAT.
Bahaya makan terakhir ialah  mengakibatkan seseorang itu akan menghadapi saat rumit ketika berhadapan  dengan soal jawab di akhirat.
Walau pun memakan rezki yang halal, tapi  jika di akhirat kita disoal siasat oleh Allah di Mahkamah Akhirat  tentang daripada mana kita perolehi yang halal itu dan ia  diperhetungankan satu persatu. Jika kita memakan makanan yang syubhat,  kita akan disalahkan, kerana hanya ingin bersenang-senang. Sedangkan hal  ehwal keadaan jiran, orang miskin dan lain-lain orang yang susah, tanpa  dibantu, itu akan ditanya kelak oleh Allah kepada kita.
Sesiapa yang tidak membantu orang yang  memerlukan bantuan, sedangkan ia mampu, maka ia dianggap tidak tergolong  sebagai umat Islam.
Sebuah hadis bahawa Nabi SAW bersabda  amat tegas sekali, maksudnya; “Siapa yang tidak memikirkan urusan sesama  Muslim, ia dianggap bukan golongan mereka (bukan golongan Muslim)”  -(Riwayat Al Hakim dari Ibnu Mas’ud).
Oleh itu, dalam hidup ini, kita selaku  umat Islam telah tersedia memikul amanah, sama ada amanah masyarakat  atau amanah diri dan keluarga. Jadi, tidak pantaslah setiap hari kita  cuma memikirkan tentang makan dan mengisi perut sahaja. Kerana kita  mempunyai tanggungjawab yang lebih besar terhadap keluarga dan  masyarakat.
Memang  dalam hidup ini, lebih-lebih lagi untuk mengisi tugas dan tanggungjawab  terhadap Allah dan juga masyarakat, kita perlukan badan sihat. Badan  yang sihat, terbina daripada makanan minum yang baik dan berzat. Memang  makanan itu perlu, tetapi janganlah sampai makan terlalu berlebihan  sehingga melupakan tanggungjawab lain yang lebih utama.
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan