Posted: 19 Oct 2011 11:33 PM PDT

22 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
JOHOR  BAHRU: “Din mengamalkan ilmu pengasih menggunakan asap rokok dan bagi  menjadikannya lebih mujarab, ia perlu dihembus kepada mangsa di hentian  bas,” kata seorang guru sebuah sekolah di bandar raya ini yang mendakwa  menjadi mangsa kasanova berjari 17 dikenali sebagai ‘Din Kudung’,  semalam.
Mangsa  mahu dikenali sebagai Siti, 32, berkata, melalui pengalaman dan cerita  mangsa lain, semua perkenalan mereka dengan Din Kudung bermula sama ada  di Terminal Pengangkutan dan Pasar Awam Larkin mahupun hentian bas lain.
Menurut  Siti, pertemuan pertama dengan Din Kudung serta pengalaman mangsa lain  membuktikan lagi telahan lelaki terbabit akan bertindak menghembus asap  rokok ke muka mereka.
“Saya  berkenalan dengan Din Kudung menerusi panggilan telefon dibuatnya pada  awal September 2010 sebelum kami bertemu di hentian bas berhampiran  sekolah tempat saya mengajar,” katanya.
“Kali  pertama bertemu, Din Kudung banyak bercerita berkaitan diri saya  seperti kehidupan peribadi serta mata pelajaran yang saya ajar,  membuatkan saya menyenanginya dan mahu berkenalan lebih rapat,” katanya.
Lebih  menghairankan, katanya, Din Kudung beberapa kali menghembuskan asap  rokok ke mukanya dan mulanya terasa seperti mahu marah tetapi akhirnya  hanya mendiamkan diri.
“Sejak  pertemuan itu, saya kerap bertemu Din Kudung yang turut mendakwa  bertugas sebagai kontraktor dan mempunyai beberapa projek dalam  pembinaan sekitar bandar raya ini.
“Lelaki terbabit turut membawa saya ke beberapa lokasi projek pembangunan sekitar bandar raya ini yang konon miliknya.
“Din  Kudung mendakwa berdepan pelbagai masalah seperti pekerja ditahan  Jabatan Imigresen dan kekurangan wang untuk meneruskan projek.
“Terpedaya  dengan helah lelaki berkenaan, saya bersetuju membuat pinjaman bank  RM50,000 di sebuah institusi kewangan di pusat bandar raya ini,  pertengahan September 2010,” katanya.
Bagaimanapun,  Siti terkejut kerana kurang tiga jam, urusan pinjaman itu diluluskan  dan dia menyerahkan wang berkenaan kepada lelaki itu.
Menurutnya,  dua minggu kemudian, Din Kudung menghubunginya dan memaklumkan perlu  RM50,000 lagi untuk menyelesaikan masalah kewangannya.
“Saya  akhirnya setuju membuat pinjaman itu selepas didesak, ia diluluskan  pada hari sama dan cek pula dikeluarkan atas nama seorang lelaki yang  juga rakan kepada Din Kudung.
“Pertengahan  Oktober pula, Din Kudung sekali lagi meminta saya membantunya dan saya  menggunakan kad kredit untuk mengeluarkan RM8,000 sebelum menyerahkan  wang berkenaan kepadanya,” katanya.
Menurut Siti, tidak lama kemudian, lelaki terbabit menghilangkan diri, malah turut menukar nombor telefon bimbitnya.
, Siti juga tertekan kerana Din Kudung berjanji konon mahu menjadikannya rakan niaga selain mengahwininya.
Siti  berkata, awal tahun ini, dia mendapatkan rawatan di sebuah pusat  rawatan Islam sebelum dimaklumkan sebenarnya terkena ayat guna-guna dan  diminta mengamalkan bacaan ayat suci al-Quran.
Katanya, selepas beberapa kali berubat, baru dia dapat berfikir dengan waras.
“Saya  akhirnya berjaya mendapatkan beberapa nombor telefon wanita lain yang  menjadi mangsa Din Kudung dan apabila dihubungi, mereka turut mendakwa  ditipu lebih RM100,000 seorang selain berkenalan di Terminal  Pengangkutan dan Pasar Awam Larkin.
“Akibatnya,  saya kini terpaksa menjelaskan hutang sebanyak RM1,200 sebulan kepada  tiga bank dengan tempoh bayaran pinjaman antara 15 hingga 20 tahun,”  katanya.
Menurutnya,  disebabkan jumlah hutang yang banyak, dia tidak boleh membeli rumah  mahu pun menukar kereta kerana separuh daripada gajinya digunakan untuk  melunaskan bayaran terbabit.
Berikutan  itu, Siti membuat laporan di Balai Polis Taman Perling, 25 Ogos lalu,  dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Din Kudung  bagi mengelak lebih ramai wanita menjadi mangsanya.
Harian Metro
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan