Posted: 19 Oct 2011 08:38 PM PDT

22 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
KUALA  LUMPUR: Kerajaan diharap dapat mempertimbangkan untuk menyerap  kira-kira 30,000 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) ke jawatan  tetap bagi menjamin masa depan dan kerjaya yang lebih baik dalam  profesion perguruan.
Datuk  Md Sirat Abu (BN-Bukit Katil) berkata menerusi penyerapan ke jawatan  tetap, kebajikan guru KAFA akan lebih terbela di samping memberi  pengiktirafan kepada sumbangan mereka dalam pendidikan agama kepada  kanak-kanak.
"Guru KAFA adalah warga pendidik yang memainkan peranan besar dalam pendidikan Islam di negara ini.
"Tugas  mereka sangat mulia dalam melahirkan generasi cemerlang ilmu dunia dan  akhirat, disamping membentuk akidah dan sahsiah murid-murid dalam  membentuk modal insan," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang  Perbekalan 2012.
Beliau  berkata kebajikan guru KAFA perlu diberi perhatian agar mereka mendapat  kemudahan setaraf dengan guru-guru sekolah dibawah Kementerian  Pelajaran. 
Pada  masa kini, guru KAFA berkhidmat menerusi ikatan kontrak dan mereka  tidak layak mendapat faedah seperti mana penjawat awam yang mendapat  kemudahan perubatan dan pinjaman perumahan.
Persidangan Dewan bersambung pada Khamis.-BERNAMA
 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan